1,184 calon STPM peroleh PNGK 4.00


SERAMAI 1,184 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, kata Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Mohd Ekhwan Toriman.

Beliau berkata ia sekali gus menyaksikan calon yang memperoleh keputusan PNGK 4.00 meningkat berbanding tahun 2021 iaitu seramai 874 orang.

“Daripada 1,184 calon ini, seramai 1,009 calon atau 85.22% daripadanya adalah daripada kategori B40,” katanya pada sidang media pengumuman Keputusan STPM 2022 di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi PNGK Nasional STPM 2022, Ekhwan berkata ia juga meningkat kepada 2.82 pada tahun lepas berbanding 2.79 pada tahun sebelumnya.

“PNGK Nasional ini juga merupakan PNGK Nasional tertinggi sejak dilaksanakan peperiksaan STPM,” katanya.

Ekhwan berkata dari segi pencapaian PNGK secara keseluruhannya, calon STPM 2022 yang memperoleh PNGK 3.75 dan ke atas ialah 9.59% manakala PNGK 3.00 dan ke atas ialah 42.96%.

“Bagi PNGK 2.75 dan ke atas ialah 56.97% dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 89.75% adalah meningkat berbanding 2021,” katanya.

Mengenai jumlah calon mendaftar STPM 2022, beliau berkata seramai 43,687 calon mendaftar namun 41,701 calon yang hadir untuk menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2022.

“Daripada 41,701 calon yang hadir, sebanyak 99.98% atau 41,694 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2022, manakala hanya 0.02% atau tujuh calon sahaja tidak layak mendapat sijil ini,” katanya.

Ditanya mengenai 1,986 calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu, beliau berkata ia disebabkan beberapa faktor seperti calon mendapat pekerjaan, menyambung pelajaran ke peringkat diploma atau program lain, sakit atau meninggal dunia.

Sementara itu, beliau berkata MPM memilih 17 pelajar terbaik mengikut kategori untuk diberikan anugerah berbentuk wang tunai bernilai RM1,000, plak serta sijil dan ia dijangka disampaikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam satu majlis, hari ini.

Beliau berkata kategori berkenaan ialah 11 pelajar STPM terbaik keseluruhan, seorang pelajar terbaik kategori B40 dan seorang pelajar terbaik kategori Orang Asli.

“Empat pelajar terbaik bagi setiap kategori calon Berkeperluan Pendidikan Khas iaitu buta, rabun, autistik dan spastik,” kata Ekhwan yang juga naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Calon STPM 2022 boleh menyemak keputusan menerusi pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM/No. Kad Pengenalan/Angka Giliran dan hantar ke 15888 bermula 11 pagi ini hingga 12 tengah hari, Ahad ini. – Bernama, 13 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen