PENYIASAT pada Isnin menyoal siasat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berhubung satu daripada beberapa kes rasuah yang mengancam untuk menggulingnya, menurut kenyataan polis.
Beberapa media Israel melaporkan Netanyahu disiasat di kediaman rasminya berhubung dakwaan kes rasuah membabitkan syarikat telekomunikasi gergasi tempatan Bezeq.
Laporan itu menyebut beliau mungkin pertama kali berdepan soal siasat berkenaan maklumat yang diberikan oleh pembantunya Nir Hefetz, yang kini menjadi saksi.
Istaeri Netanyahu, Sara dan anaknya, Yair turut disoal berasingan di ibu pejabat skuad anti rasuah berhampiran Tel Aviv.
Kenyataan polis mengesahkan keluarga Netanyahu disoal siasat oleh penyiasat daripada skuad anti rasuah dan pihak berkuasa keselamatan Israel, tanpa memberikan butiran lanjut.
“Perdana menteri, isteri dan anaknya disoal siasat untuk beberapa jam,” katanya.
“Siasatan dijalankan di bawah seliaan peguam negeri dengan kebenaran peguam negara.”
Ini merupakan kali kesembilan Netanyahu disoal siasat secara alngsung atau tidak langsung.
Dan ini merupakan pertama kali Yair Netanyahu disoal siasat, lapor media.
Netanyahu kekal dengan pengakuan tidak bersalah dan mengutuk dakwaan terhadapnya. – AFP, 26 Mac, 2018.
Komen