Ukraine perlu laksana pembaharuan sebelum sertai NATO, kata White House


UKRAINE masih perlu melaksanakan beberapa pembaharuan sebelum secara rasmi dapat menyertai NATO, kata Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Negara White House untuk Eropah, Amanda Sloat, pada Rabu.

“Seperti yang saya fikir Presiden (Amerika Syarikat) Biden telah bercakap termasuk dengan sangat jelas awal minggu ini atau minggu lepas bahawa Ukraine masih perlu membuat beberapa pembaharuan untuk menyertai (perikatan),” kata Sloat kepada media, menurut Sputnik .

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House John Kirby pada Selasa berkata Ukraine tidak mungkin menyertai NATO dalam masa terdekat dan masih perlu melakukan pembaharuan utama termasuk tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang dan pelarasan politik untuk memenuhi kriteria kelayakan keanggotaan NATO.

Kemudian pada hari sama, anggota NATO mengeluarkan kenyataan rasmi selepas hari pertama sidang kemuncak di Vilnius dengan mengatakan “masa depan Ukraine adalah dalam NATO” dan negara itu akan dikecualikan daripada memenuhi Pelan Tindakan Keahlian standard untuk itu.

Pada masa yang sama, tiada jemputan rasmi dibuat.

Ukraine memohon keanggotaan NATO dipercepatkan pada September 2022 berikutan permulaan operasi ketenteraan Rusia pada Februari tahun itu.

Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg telah beberapa kali berkata bahawa pakatan 31 negara itu menyokong aspirasi Kyiv tetapi tidak bersedia untuk meluluskan permohonannya serta-merta.– Bernama, 13 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen