PROSES penghantaran pulang pengembara yang dikenakan perintah Notis Penolakan Masuk (NTL) akan kembali diuruskan oleh syarikat penerbangan berbanding pihak ketiga ketika ini.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau berkata keputusan mengembalikan urusan NTL kepada syarikat penerbangan adalah selaras dengan Bab 5 dalam Konvensyen Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Akta Imigresen 1959/63.
“Ini sesuai dengan Akta Imigresen dan ICAO yang sebut dengan jelas mereka (syarikat penerbangan) adalah pihak tanggungjawab dalam urusan.
“Apabila pengembara ingin berlepas dari lokasi terakhirnya, syarikat penerbangan bertanggungjawab sebelum mengeluarkan pas masuk, dia kena tahu pengembara itu ada ke tidak tiket pergi balik, kemudian mereka akan keluarkan pas masuk… itu adalah standard antarabangsa,” katanya pada sidang media di Putrajaya.
Ditanya sama ada perkhidmatan syarikat yang menguruskan NTL ditamatkan berikutan keputusan Kabinet itu, Saifuddin Nasution berkata perkara itu perlu diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan kena uruskan.
“Kabinet hanya buat keputusan dasar,” katanya.
Beliau juga berkata sejumlah 14,977 pengembara dikenakan perintah NTL bagi tempoh Januari hingga Jun lepas.
“(Mereka dikenakan NTL) ditahan antara satu hingga tujuh hari bergantung kepada proses,” katanya sambil menambah purata notis NTL yang dikeluarkan sehari ialah 80.
Mengulas sebab utama pengembara dikenakan NTL, Saifuddin Nasution berkata mereka tidak mempunyai tiket pergi balik, alamat tempat tinggal tidak jelas serta tidak cukup wang tunai.
Katanya pengembara tertinggi yang dikenakan NTL ialah dari Bangladesh, Pakistan dan India.
Pada 5 Julai lepas, Saifuddin Nasution berkata pemberian NTL kepada pengembara akan ditentukan oleh Pegawai Pengurusan Profesional Imigresen Gred KP41 dan ke atas berbanding KP29 ketika ini.
Beliau turut menafikan laporan media bahawa wanita warga China yang dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak mempunyai rekod perjalanan keluar.
“Wanita itu dicatatkan keluar menerusi rekod Jabatan Imigresen melalui penerbangan ZH5030 Shenzhen Airlines pada 8.55 malam 4 Julai lepas,” katanya. – Bernama, 12 Julai, 2023.
Komen