SPRM tahan bekas pegawai khas menteri minta rasuah RM25,000


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menurut sumber, suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas pegawai khas kepada seorang bekas menteri kerana disyaki meminta suapan berjumlah kira-kira RM25,000 daripada seorang individu sebagai dorongan mendapatkan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 40-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.

Suspek merupakan bekas pegawai khas menteri pada 2019 sebelum bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kata sumber.

Lelaki itu didakwa meminta rasuah daripada seorang lelaki tempatan yang membuat permohonan taraf kewarganegaraan untuk anak kandungnya.

“Pada Jun lalu, suspek telah menghubungi individu itu yang memohon taraf kewarganegaraan bagi anaknya yang dibuat sejak 2015.

“Suspek memaklumkan surat kelulusan permohonan taraf warganegara sudah ada padanya dan meminta individu terlibat membayar wang berjumlah RM 25,000 sebelum menyerahkan surat kelulusan itu,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Tambah sumber, penahanan suspek dibuat hasil pendedahan dan gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar SPRM menyiasat lanjut berhubung amalan rasuah oleh segelintir pegawai di JPN.

Susulan penahanan itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan suspek direman selama tiga hari sehingga 14 Julai setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – 12 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen