Presiden China tekankan ekonomi terbuka


Presiden China Xi Jinping memberi penekanan terhadap pembinaan sistem baharu ekonomi terbuka pada tahap lebih tinggi. – Gambar AFP, 12 Julai 2023.

PRESIDEN China Xi Jinping memberi penekanan terhadap pembinaan sistem baharu ekonomi terbuka pada tahap lebih tinggi, sebagai langkah strategik untuk memantapkan pembaharuan dan pembangunan.

Xi yang juga setiausaha agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) berkata demikian ketika mempengerusikan satu mesyuarat mengenai usaha memantapkan reformasi secara menyeluruh di Beijing pada Selasa.

Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan tentang peri penting memajukan tahap keterbukaan secara keinstitusian dan memfokuskan kepada memperdalam reformasi membabitkan bidang pelaburan, dagangan, kewangan dan inovasi.

Xi ingin melihat kerajaan mengambil inisiatif untuk meningkatkan pembukaan China ke tahap baharu.

“Usaha perlu dilakukan untuk mengoptimumkan reka bentuk peringkat atasan sistem baharu ekonomi terbuka, memperdalam pembaharuan keinstitusian dalam sektor perdagangan dan pelaburan, memperluas akses pasaran, selain menambah baik persekitaran perniagaan serta perkhidmatan dan sistem sokongan,” kata beliau.

Mengulas mengenai pembinaan tamadun ekologi, Xi menyifatkannya kini memasuki fasa kritikal berikutan hala tuju strategik yang menyasarkan pengurangan pelepasan karbon.

Beliau menyeru lebih banyak usaha dilakukan ke arah menggalakkan peralihan daripada kawalan duaan terhadap amaun dan intensiti penggunaan tenaga kepada kawalan jumlah dan keamatan pelepasan karbon secara beransur-ansur.

“Reformasi terhadap industri minyak dan gas negara di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran harus dilaksanakan secara mapan, sehingga memastikan bekalan berkenaan terjamin.

“Mengenai pembaharuan sistem kuasa elektrik, keutamaan harus diletakkan kepada pembentukan satu sistem baharu yang bersih, rendah karbon, selamat, cekap dan pintar,” kata Xi.

Beliau berkata pembaharuan berkenaan dapat menggalakkan revolusi pengeluaran dan penggunaan tenaga serta menjamin keselamatan tenaga negara. – Bernama, 12 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen