PENYIASAT yang menyiasat insiden letupan saluran paip gas Nord Stream 1 dan 2 menemui kesan bahan letupan pada sebuah kapal layar yang mencurigakan, menurut sepucuk surat yang ditujukan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kesan bahan letupan dasar laut ditemui dalam sampel yang diambil dari kapal layar semasa siasatan,” menurut satu kenyataan bersama bertarikh 10 Julai daripada duta PBB dari Jerman, Denmark dan Sweden kepada Majlis Keselamatan PBB di New York.
Ia juga menyatakan terdapat kemungkinan kapal layar itu digunakan untuk mengangkut bahan letupan untuk mensabotaj saluran paip.
Ketiga-tiga wakil itu berkata siasatan sedang dijalankan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Pada ketika ini, identiti pelaku dan motif mereka belum dapat dipastikan,” menurut surat itu.
Letupan dilaporkan berlaku berhampiran pulau Bornholm di Denmark pada 26 September 2022. Tidak lama selepas itu, empat kebocoran ditemui pada tiga saluran paip.
Paip gas asli Nord Stream sepanjang 1,200 kilometer melintasi perairan wilayah Rusia, Finland, Sweden, Denmark dan Jerman menyalurkan gas asli Russia kepada sebahagian besar benua Eropah sejak 2011.
Menurut laporan media Jerman, kapal layar itu meninggalkan bandar pelabuhan timur laut Rostock dan didakwa disewa oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Poland yang dimiliki dua warga Ukraine. – Bernama, 12 Julai 2023.
Komen