Kementerian luar Sudan tolak cadangan tempatkan pasukan pengaman


Kementerian luar mengecam sebarang percubaan untuk mengerahkan pasukan pengaman di Sudan dan memberi amaran tindakan itu dianggap sebagai menceroboh. – Gambar EPA, 12 Julai, 2023.

KEMENTERIAN Luar Sudan menolak cadangan Pihak Berkuasa Antara Kerajaan Mengenai Pembangunan (IGAD) untuk menempatkan pasukan pengaman di negara itu bagi menghentikan pertempuran antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Dalam satu kenyataan pada Selasa, kementerian itu mengecam sebarang percubaan untuk mengerahkan pasukan pengaman di Sudan dan memberi amaran tindakan itu dianggap sebagai menceroboh. 

“Kenyataan akhir Kuartet (IGAD) (di sidang kemuncak IGAD di Addis Ababa) untuk mempertimbangkan kemungkinan mengerahkan pasukan pengaman melindungi orang awam dan memastikan aliran bantuan kemanusiaan.

“Dalam hal ini, kerajaan Sudan menegaskan bantuan kemanusiaan yang disediakan oleh badan antarabangsa disalurkan dan sampai kepada mereka yang memerlukan dan kerajaan Sudan tetap berusaha untuk meringankan penderitaan rakyat dan mengatasi semua kekangan dalam hal ini.

“Dengan ini kerajaan Sudan mengesahkan enggan menerima penempatan mana-mana tentera asing ke Sudan dan akan menganggap mereka sebagai penceroboh,” menurut kementerian itu, lapor Agensi Anadolu.

Kenyataan itu turut menyelar ucapan Presiden Kenya William Ruto dan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed pada sidang kemuncak IGAD yang menggesa penempatan tentera serta mengisi jurang keselamatan dan kepimpinan di Sudan akibat pertempuran yang berterusan.

“Kehadiran delegasi Sudan ke Addis Ababa sebelum permulaan mesyuarat dan hubungannya terlebih dahulu dengan penganjur mesyuarat mengesahkan hasrat Sudan untuk melibatkan diri dalam mencari penyelesaian kepada krisis semasa. Apa yang dinyatakan dalam kenyataan akhir Kuartet mengenai ketiadaan delegasi kami adalah tidak tepat dan tidak realistik.

“Demi kredibiliti, dijangkakan kenyataan Kuartet menunjukkan tiada penyertaan delegasi kerajaan Sudan adalah disebabkan oleh bantahan yang jelas terhadap jawatan presiden Kuartet Presiden William Ruto,” menurut kementerian itu. – Bernama, 12 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen