Korea Selatan cadang masyarakat antarabangsa bersatu tangani ancaman nuklear Korea Utara 


KOREA Selatan akan mengemukakan cadangan agar masyarakat antarabangsa bersatu bagi menangani ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara, di Forum Serantau Asean (ARF) pada minggu ini, lapor Agensi Berita Yonhap.

Selain mengenai aktiviti siber haram Korea Utara, Menteri Luar Korea Selatan, Park Jin, turut dijangka membangkitkan isu berhubung kebimbangan hak asasi manusia di Korea Utara, menurut pegawai Kementerian Luar pada Rabu.

Pada Khamis, Park dijadual menyertai mesyuarat menteri luar Korea Selatan-Asean serta mesyuarat Asean Plus Three (Asean+3) yang turut merangkumi China dan Jepun.

Pada hari berikutnya, Park akan mengambil bahagian dalam mesyuarat Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), melibatkan negara anggota Asean, Korea Selatan, China dan Jepun, selain Amerika Syarikat, Rusia, India, Australia dan New Zealand.

Pada forum ARF, Korea Selatan akan menekankan tekadnya untuk melaksanakan strategi Indo-Pasifik yang diperkenalkan pada November tahun lalu dan berusaha mendapatkan pengesahan rasmi Inisiatif Solidariti Korea-Asean (KASI), komponen teras strategi Indo-Pasifik daripada anggota Asean.

Beliau turut dijangka menyatakan bantahan kerajaan terhadap sebarang percubaan unilateral untuk mengubah status quo di rantau itu dan menjelaskan pendirian Seoul dalam isu melibatkan Laut China Selatan, Myanmar dan Ukraine.

Park juga dijadual mengadakan rundingan dua hala yang berasingan dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Australia, EU dan Britain.

Menurut pemerhati pertemuan tiga penjuru dalam kalangan diplomat tertinggi Seoul, Washington dan Tokyo mungkin akan diadakan di luar mesyuarat. – Bernama, 12 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen