PRN: BN umum calon 21 Julai, kata Zahid


Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 21 Julai ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2023.

BARISAN Nasional (BN) akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 21 Julai ini.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi BN yang juga Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan malam ini.

“Untuk BN kita akan umumkan pada 21 Julai malam untuk semua negeri,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Turut hadir beberapa pemimpin Kerajaan Perpaduan iaitu Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Fadillah Yusof dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu.

Mesyuarat itu turut disertai Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Pada 5 Julai lepas Suruhanjaya Pilihan Raya memutuskan bahawa PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos. – Bernama, 11 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen