SPR diminta jelaskan 'pengundi' berusia 150 tahun dalam daftar pemilih 2018


Desmond Davidson

Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon (tengah) mempersoalkan berapa ramai lagi pengundi seperti itu yang ada dalam daftar pemilih 2018.– Gambar Youtube, 26 Mac, 2018.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut Dr Ting Tiong Choon mempersoalkan kewujudan “pengundi” berusia 150 tahun yang berdaftar di dalam kawasannya, dan menyifatkannya sebagai “kes tipikal pengundi hantu”.

Kerusi negeri itu, bersama Senadin dan Piasau, membentuk kerusi Parlimen Miri. 

Dr Ting berkata, individu bernama “Mohd Said Mohd Arshad”, menurut daftar pemilih, yang dilahirkan pada 1 Januari, 1868 masih dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak. 

Bagaimanapun, kata Adun DAP itu, apabila beliau bertanya kepada pejabat JPN di Miri, beliau diberitahu bahawa “tiada bukti individu berkenaan (Said) membuat surat beranak atau kad pengenalan (MyKad)”.

Rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menunjukkan “Said” mendaftar sebagai pengundi pada 1989, pada umur 121 tahun. 

“Ini sesuatu yang perlu dijawab oleh SPR. Bagaimana individu tanpa kad pengenalan boleh mendaftar sebagai pengundi?” kata Dr Ting. 

“SPR pasti tahu bagaimana individu ini mendaftar. Sama ada menerusi pejanat pos atau parti politik, SPR mesti ada rekod.”

Katanya, beliau percaya “Said” didaftarkan oleh parti Barisan Nasional. 

“Ketika itu, pada 1989. BN adalah yang terkuat.”

Dr Ting berkata, beliau digesa untuk menjalankan pemeriksaan ke atas “Said” dengan JPN dan beliau percaya pendaftaran nombor kad pegenalan lama - yang bermula dengan “K5” - dan empat digit terakhir MyKad baru - 0069- adalah bukan perkara normal di Sarawak. 

“Kakitangan JPN memberitahu saya, ‘ya’, beliau (Said) lahir pada 1 Januari, 1868, tetapi turut memberitahu saya tiada rekod bahawa individu terbabit (Said) membuat surat beranak atau kad pengenalan.”

Katanya, beliau diberitahu “Said” tidak mempunyai alamat, selepas bertanya kepada kakitangan JPN. 

“Kini saya tertanya-tanya berapa ramai lagi pengundi seperti ini dalam daftar pemilih.”

Dr Ting berkata pengesahan nama pada daftar pemilih menjadi proses yang rumit dan memakan masa kerana SPR tidak lagi mengeluarkan salinan. 

“Dengan salinan itu, lebih mudah untuk mengesan sebarang keraguan,”

DAP Sarawak, menerusi akaun Facebooknya minggu lalu, menyatakan penemuan “pengundi” berusia 150 tahun itu. 

Ia turut mempersoalkan bagaimana seseorang yang lahir pada 1868 masih hidup dan nama mereka terdapat dalam daftar pemilih 2018. – 26 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen