Pengasas Westports meninggal dunia


Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Bhd G Gnanalingam meninggal dunia petang tadi pada usia 78 tahun. – Gambar Facebook, 11 Julai, 2023.

PENGERUSI Westports Holdings Bhd (Westports Holdings) Gnanalingam Gunanath Lingam meninggal dunia pada usia 78 tahun, menurut kenyataan dikeluarkan oleh Westports Holdings.

Westports Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata Gnanalingam ialah pengasas syarikat itu dan merupakan sumber inspirasi.

“Mendiang menyentuh kehidupan kita semua dan masyarakat dengan belas kasihan, kemurahan hati dan kebaikannya. Visi dan kepimpinan beliau terhadap syarikat itu membina dan mengubah Westports dan Pelabuhan Klang menjadi pelabuhan terkemuka di Malaysia dan salah satu hab pemindahan kapal di Asia Tenggara.

“Dalam waktu kesedihan ini, kami mengucapkan takziah kepada keluarga Gnanalingam,” katanya.

Gnanalingam dilantik sebagai pengarah syarikat pengendalian kargo marin itu pada 1 Januari 2009 dan sebagai pengerusi eksekutif pada 1 September 2013.

Beliau juga merupakan pengerusi eksekutif Westports Malaysia Sdn Bhd (WMSB), sebuah unit milik penuh Westposts, jawatan yang dipegangnya sejak tahun 2000.

Sebelum itu mendiang merupakan pengarah urusan WMSB dari 1995 hingga 1999.

Gnanalingam adalah alumni Harvard Business School di Boston, Amerika Syarikat selepas menamatkan Program Pengurusan Lanjutan Sekolah pada tahun 1983.

Antara anugerah yang beliau terima sepanjang hayatnya dalam industri ialah “Transport Man of the Year” pada tahun 2001 oleh Kementerian Pengangkutan.

Gnanalingam juga pernah menerima anugerah Kelab Billion Ringgit the Edge, “Value Creator: Most Outstanding CEO” pada 2017 atas kecemerlangan kepimpinannya dalam menjadikan Westports sebagai pengendali terminal terkemuka Pelabuhan Klang.

Pada penutupan hari ini saham Westport kekal pada RM3.53 dengan 372,700 saham bertukar tangan.

Syarikat itu mengendalikan semua jenis kargo dalam kontena, pecah pukal, pukal kering, pukal cecair, kenderaan (roll-on roll-off) dan kargo konvensional yang lain. – 11 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen