Laporan insiden Batang Kali siap, masih tunggu ulasan agensi berkaitan, kata Nanta


Tragedi 16 Disember lalu meragut 31 nyawa manakala 61 terselamat ketika semua mangsa berada di sebuah tapak perkhemahan di Father's Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali, Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2023.

LAPORAN mengenai tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember lalu sudah siap namun belum dapat dibentangkan kepada Jemaah Menteri kerana masih menunggu ulasan dan maklum balas dari kementerian dan agensi berkaitan.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata perkara itu perlu kerana lokasi tersebut merupakan kategori jalan kerajaan negeri Selangor dan laporan serta ulasan dari agensi terbabit diperlukan.

“Di peringkat JKR, kita sudah buat kerja dan dimajukan laporan kepada kepada agensi lain. Jadi saya berharap ulasan ini dapat diperolehi segera, bagi dihantar ke Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Untuk bila akan diperolehi laporan itu dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, ia bergantung kepada agensi dan kementerian yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2023 di Melaka hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kerja Raya Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool dan Pengarah JKR Melaka Ir Ismail Abd Rahman.

Nanta sebelum ini dilaporkan menyatakan laporan tragedi yang berlaku pada kira-kira 2.30 pagi 16 Disember lalu dijangka diperoleh pada akhir bulan Jun sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi membolehkan semua pihak terbabit mengambil tindakan selanjutnya.

Tragedi itu membabitkan 92 mangsa dengan 31 terkorban manakala 61 terselamat ketika semua mangsa berada di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali, Selangor.

Terdahulu persidangan yang bermula selama tiga hari bermula hari ini melibatkan penyertaan 420 pegawai kanan JKR yang terdiri daripada pengarah cawangan dan negeri, jurutera daerah, pegawai kanan dan pegawai kader dari seluruh negara.

Pada persidangan itu juga turut disampaikan Anugerah Kontraktor Cemerlang kepada kontraktor yang berjaya melaksanakan projek JKR, serta Anugerah Inovasi JKR Malaysia serta menandatangani Dokumen Projek Kerjasama antara JKR dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Petroleum Nasional Berhad (Petronas) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Kita harap perjanjian ini akan meningkatkan penggunaan teknologi yang boleh menggurangkan kos atau sekurang-kurangnya memanjangkan usia jalan raya yang dibina.

“Dalam masa yang sama juga kita akan melihat peluang kerjasama antara warga kerja jabatan dan penyelidik tempatan dengan pengiat industri bagi usaha pertukaran teknologi dan menyemarak pembangunan intelektual,” katanya. – Bernama, 11 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen