Suhu panas melampau sekali lagi landa selatan Sepanyol


Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AEMET mengisytiharkan amaran merah, tahap tertinggi, di wilayah yang menempatkan bandar utama Seville dan Cordoba. – Gambar AFP, 11 Julai, 2023.

ORANG ramai sekali lagi berhadapan cuaca panas terik di Sepanyol selepas dua minggu mengalami gelombang haba, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Di Andalusia, suhu meningkat sehingga 44 darjah Celsius pada petang semalam.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AEMET mengisytiharkan amaran merah, tahap tertinggi, di wilayah yang menempatkan bandar utama Seville dan Cordoba itu.

Bandar berkenaan menyaksikan suhu memuncak kepada 44 darjah pada Jun.

Suhu siang hari yang tinggi itu membebankan penduduk, terutama kanak-kanak, warga emas dan mereka yang sakit selain memberi kesan kepada alam semula jadi.

Pada waktu malam suhu jarang turun di bawah 25 darjah.

Cuaca juga sangat panas di bahagian lain di negara itu semalam, sehingga 39 darjah di ibu negara Madrid dan sehingga 35 darjah di pulau percutian Mallorca.

Suhu lebih rendah di Catalonia pada 30 darjah dan di utara negara itu, suhu mencatatkan sekitar 25 darjah.

Gelombang haba kedua musim panas ini mungkin reda menjelang akhir minggu, menurut ahli meteorologi.

Di Sepanyol, gelombang haba meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti yang dinyatakan oleh Perkhidmatan Cuaca Negara.

Jurucakap AEMET Ruben del Campo berkata yang jelas, perubahan iklim (akibat tindakan manusia) punca kepada peningkatan kejadian cuaca ekstrem. – Bernama, 11 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen