Ukraine sertai NATO selepas perang dengan Russia tamat


Ukraine akan menjadi anggota NATO selepas peperangan dengan Russia berakhir, kata presidennya Volodymyr Zelensky. – Gambar AFP, 11 Julai, 2023.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky melahirkan keyakinan negaranya akan menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas peperangan dengan Russia berakhir, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Perikatan ketenteraan Barat mengadakan sidang kemuncak dua hari di Lithuania.

Walaupun jelas Ukraine tidak boleh bergabung dengan kesatuan itu ketika dilanda konflik dengan Rusia kerana ia akan mencetuskan Perang Dunia III, penyertaan boleh menyusul apabila keamanan dicapai.

“Walaupun kedudukan berbeza dinyatakan, masih jelas bahawa Ukraine layak untuk berada dalam perikatan itu. Bukan sekarang – sekarang kita sedang berperang, tetapi kita memerlukan isyarat yang jelas.

“Majoriti pakatan jelas menyokong kami,” kata Zelensky dalam perutusan video.

Beliau menambah sidang kemuncak di Vilnius pada Selasa dan Rabu ini mesti mengesahkan perkara ini.

“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan keahlian sejelas dan sepantas mungkin.

“Tugas seluruh pasukan Ukraine – akan diteruskan setiap minit hari ini,” katanya.

Zelensky mengadakan beberapa siri rundingan dua hala di Vilnius, termasuk dengan negara Kesatuan Eropah EU, Amerika Syarikat dan Kanada turut menegaskan perjuangan Ukraine adalah untuk kepentingan Barat.

Keselamatan sayap timur NATO bergantung kepada Ukraine menangkis serangan Russia, katanya. – Bernama, 11 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen