Amanah dijangka tanding lebih 30 kerusi, kata Salahuddin 


Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata parti itu yakin mampu mengekalkan kemenangan yang ada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2023.

AMANAH dijangka bertanding lebih 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini, kata Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub.

Beliau berkata Amanah akan bertanding sembilan kerusi DUN di Selangor, tujuh kerusi di Kelantan manakala tiga DUN di Negeri Sembilan.

“Terengganu (Amanah) mungkin bertanding tiga atau empat (kerusi) dan insya-Allah Kedah pula tujuh atau lapan (kerusi),” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan harga barangan di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Salahuddin berkata parti itu yakin mampu mengekalkan kemenangan yang ada, serta mempunyai peluang seimbang untuk merebut kemenangan di negeri yang ditadbir pembangkang ketika ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah diadakan serentak pada 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala undi awal pada 8 Ogos dan penamaan calon pada 29 Julai. – Bernama, 11 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen