PENDIRIAN seorang senator Amerika Syarikat (AS) mengenai hak menggugurkan kandungan menjadi masalah besar kepada tentera AS, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Senator Republikan Alabama, Tommy Tuberville meghalang pengesahan jawatan kakitangan utama tentera kerana beliau menentang Pentagon membiayai perjalanan ke klinik pengguguran untuk anggota tentera AS.
Mahkamah Agung AS membatalkan hak menggugurkan kandungan pada tahun lalu. Sejak itu, pengguguran diharamkan atau hanya dibenarkan dengan sekatan yang ketara di kebanyakan negeri AS.
Oleh itu, Pentagon menanggung kos jika perjalanan ke negeri lain diperlukan untuk pengguguran.
Senator Tuberville membantah dasar Pentagon. Senator Demokrat menuduhnya menjadikan tentera AS tebusan.
Pada Isnin, komander Kor Marin AS meletakkan jawatan mengikut giliran. Bagaimanapun, pengganti dan timbalannya sebelum ini, Eric Smith, masih belum disahkan oleh Senat, jadi beliau kini hanya pemangku komander.
Menurut Pentagon, ini adalah kali pertama dalam lebih 150 tahun Kor Marin diketuai oleh seseorang yang tidak disahkan oleh Senat. Sebagai pemangku komander, Smith mempunyai kuasa yang terhad berbanding penyandangnya.
Kenaikan pangkatnya adalah satu daripada rentetan pegawai tinggi tentera yang boleh disekat oleh Tuberville.
Presiden AS Joe Biden mencalonkan Charles Brown sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera AS yang baharu, pada Mei.
Senat mesti mengesahkan pelantikannya sebelum Ketua Turus ketika ini, Mark Milley, melepaskan jawatannya pada September.
“Kami tahu halangan ini akan medatangkan kesan pada keseluruhan jabatan,” kata jurucakap Pentagon, Sabrina Singh. Tingkah laku Tuberville menjadi contoh berbahaya yang menyebabkan kesediaan tentera kita dalam bahaya, katanya.
Tuberville berkata perkembangan itu tidak membimbangkan beliau dan Senat perlu mencari penyelesaian. – Bernama, 11 Julai, 2023.
Komen