TURKIYE setuju untuk memajukan penyertaan Sweden ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sehari sebelum sidang kemuncak perikatan itu di ibu negara Lithuania, umum Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg.
Stoltenberg berkata pada sidang media selepas pertemuan tiga pihak dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson bahawa Turkiye bersetuju untuk memajukan protokol penyertaan Sweden ke Parlimen secepat mungkin dan memastikan pengesahannya, lapor Xinhua.
Proses penyertaan NATO memerlukan persetujuan semua negara anggota. Sweden dan Finland memohon untuk menyertai perikatan itu tahun lalu, tetapi berdepan bantahan daripada Turkiye, yang mendakwa kedua-dua negara itu melindungi anggota Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan dan pergerakan Gulen.
Turkiye menarik balik bantahannya terhadap penyertaan NATO Finland awal tahun ini selepas Helsinki mengambil “langkah konkrit” terhadap organisasi tersebut. Pada April, Finland menjadi negara anggota ke-31 NATO. Bagaimanapun, Ankara terus menyekat bidaan NATO Sweden.
Ketua NATO berkata sejak sidang kemuncak NATO 2022, Sweden dan Turkiye telah bekerjasama rapat untuk menangani kebimbangan keselamatan Turkiye yang sah.
“Sweden telah meminda Perlembagaannya, mengubah undang-undangnya, meluaskan kerjasama memerangi keganasan dengan ketara terhadap PKK dan meneruskan eksport senjata ke Turkiye, semua langkah yang ditetapkan dalam Memorandum Trilateral yang dipersetujui pada 2022,” katanya.
Terdahulu sebelum berlepas ke Vilnius pada Isnin, Erdogan berkata negaranya akan menyokong Sweden menyertai NATO jika Kesatuan Eropah (EU) menghidupkan semula rundingan keanggotaan dengan Ankara, satu langkah tidak dijangka yang didakwa beberapa media akan “menggegarkan perpaduan perikatan”. – Bernma, 11 Julai, 2023.
Komen