2 lelaki lemas semasa mencari kepah 


DUA lelaki lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mencari kepah di pantai Esplanade Buntal, Kampung Buntal di Kuching, tengah malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan mayat mangsa pertama Mohamad Amin Umar, 39, ditemukan pada pukul 3.30 pagi manakala mangsa kedua, Awang Khairul Aziq Awang Chula, 25, dijumpai pada pukul 3.42 pagi.

Menurutnya, pihak Bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 12.47 tengah malam, melibatkan tiga lelaki yang mencari kepah dengan dua daripada mereka telah hilang dibawa arus manakala seorang berjaya menyelamatkan diri.

“Bomba telah membuat pemantauan dan mencari dalam radius 100 meter di sekitar lokasi mangsa dikhuatiri lemas. Mangsa pertama telah dijumpai penduduk kampung pada 3.30 pagi, kira-kira 400 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa kedua dijumpai anggota pasukan penyelamat dan penduduk kampung pada 3.42 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching, hari ini.

Katanya, kedua-dua mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – Bernama, 11 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen