2 maut, 5 parah nahas bas dan kereta di Seremban


DUA maut dan lima penumpang bas cedera parah akibat kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dan sebuah kereta di Kilometer 285.5, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, 5.25 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai DSP Mat Ghani Lateh berkata pemandu bas iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun dan seorang penumpang bas wanita warga Indonesia berumur 42 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Beliau berkata seramai 14 penumpang warga asing antara mangsa kemalangan itu iaitu terdiri daripada empat warga Indonesia, Singapura (tiga), Kanada (dua), Filipina (tiga) serta masing-masing seorang dari China dan Sepanyol.

Katanya hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah bas persiaran milik Syarikat LA Holidays Travel & Tours Sdn Bhd membawa 20 orang penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan dari Singapura menuju Kuala Lumpur.

“Bas tersebut disyaki melanggar tiang jambatan di kanan lebuh raya sebelum berpusing ke kiri dan melanggar sebuah kereta yang berada di lorong kiri lalu terbabas masuk ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Sementara itu lima penumpang dilaporkan mengalami kecederaan parah manakala 13 penumpang lain cedera ringan. 

“Penumpang kereta jenis Proton Wira mengalami cedera ringan manakala pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kesemua mangsa yang cedera mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dekat Seremban manakala dua yang maut dibawa ke hospital sama bagi proses bedah siasat. 

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987. – Bernama, 10 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen