SEORANG bekas kapten skuad bola sepak kebangsaan didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan menceroboh masuk bilik hotel kenalannya yang merupakan isteri orang bulan lepas.
Ahmad Shahrul Azhar Sofian, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Bekas pemain Perak FA itu didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bilik wanita berusia 36 tahun di sebuah hotel di Kelana Jaya di Petaling Jaya pada 6 petang 21 Jun.
Pertuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal menawarkan jaminan RM6,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
“Dalam kes ini mangsa merupakan kenalan tertuduh,” katanya.
Peguam Suraj Singh yang mewakili Ahmad Shahrul memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya menanggung isteri yang tidak bekerja serta tujuh anak selain tiada risiko melarikan diri dan tiada rekod kesalahan jenayah lain.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan yang dicadangkan oleh pendakwaan dan menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes.
Media melaporkan lelaki itu ditahan selepas dipercayai menceroboh masuk bilik hotel seorang wanita berstatus isteri orang.
Menurut polis pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mengatakan suspek menceroboh bilik hotelnya sebelum bertindak agresif hingga menyebabkan berlaku sedikit kekecohan. – Bernama, 10 Julai, 2023.
Komen