Peningkatan ancaman keselamatan siber cetus kebimbangan, kata PM


Pelaku ancaman mendedahkan atau mencuri 22.62 bilion bukti kelayakan dan rekod peribadi, daripada maklumat akaun dan kewangan hinggalah kepada e-mel dan nombor keselamatan sosial. – Gambar EPA, 10 Julai, 2023.

WALAUPUN transformasi digital membantu negara mengatasi cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19, namun evolusi pesatnya juga meningkatkan risiko siber dan meluaskan lagi impaknya, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau memetik laporan “World Economic Forum 2023 Global Cybersecurity Outlook” yang menyatakan 93% daripada pemimpin siber dan 86% pemimpin perniagaan siber percaya ketidakstabilan geopolitik akan memungkinkan berlakunya bencana siber dalam tempoh dua tahun akan datang. 

“Dalam kalangan pemimpin perniagaan siber, 43% percaya bencana siber akan memberi impak besar kepada perniagaan mereka sendiri; namun hanya 27% daripada pemimpin perniagaan percaya mereka mencapai ketahanan siber.

“Jurang yang ketara antara syarikat yang memiliki daya tahan siber dan kemungkinan impak besar daripada bencana adalah membimbangkan, dan ini perlu ditangani secara bersama oleh kerajaan, perniagaan, ahli akademik serta masyarakat,” katanya dalam ucapan beliau pada perasmian Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2023, di Kuala Lumpur, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, yang merasmikan majlis tersebut bagi pihaknya. 

Anwar berkata mengikut Laporan Keadaan Risikan Ancaman Siber, 26,900 kelemahan dilaporkan pada 2022, di mana 55% daripadanya boleh dieksploitasikan dari jauh. 

Pelaku ancaman mendedahkan atau mencuri 22.62 bilion bukti kelayakan dan rekod peribadi, daripada maklumat akaun dan kewangan hinggalah kepada e-mel dan nombor keselamatan sosial.

Anwar berkata bagi menanganinya, kerajaan di seluruh dunia telah meletakkan keselamatan siber dalam agenda nasional mereka, komited untuk berusaha mencapai ruang siber yang terbuka, selamat, stabil, saling beroperasi dan aman berdasarkan prinsip tingkah laku negara yang bertanggungjawab.

“Perbincangan di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mencapai kemajuan yang sangat memberangsangkan dan Malaysia berharap ia akan terus berjalan lancar, memandangkan landskap geopolitik yang mencabar.

“Kerajaan-kerajaan perlu menunjukkan betapa mustahaknya norma, peraturan dan prinsip tingkah laku negara pada standard yang utuh dan meneruskan usaha untuk memastikan pelaksanaannya yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata di peringkat nasional, usaha mencapai ekosistem siber hanya boleh dicapai melalui tadbir urus yang baik dan strategi berkesan dengan hasil yang boleh diukur.

CYDES 2023 yang dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) dan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd berlangsung bermula hari ini hingga 13 Julai di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, dengan tema “Membina Ketahanan Siber: Melindungi Masa Depan Digital”.

Semasa acara tersebut, Velum Labs Sdn Bhd, anak syarikat Sapura Group dan NACSA menandatangani memorandum persefahaman untuk bekerjasama dalam perkongsian model risikan dan pelaksanaan siber bagi mengukuhkan, mempromosi dan membangunkan keupayaan siber negara secara strategik. – Bernama, 10 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen