KONGRES Media Global 2023 (GMC 2023) bakal diadakan dari 14 hingga 16 November di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC).
Kembali diadakan untuk tahun kedua, acara tiga hari itu akan menyaksikan penyertaan para pemimpin industri, pakar dan pempengaruh terkemuka dunia, selain ahli akademik, belia dan penuntut universiti.
Dianjurkan oleh Kumpulan ADNEC dengan kerjasama Agensi Berita Emirates (WAM), GMC 2023 akan mengkaji perkembangan terkini dalam sektor media dan prospeknya, berdasarkan kejayaan cemerlang edisi sulung GMC.
Sepanjang tiga hari, Kongres itu akan membincangkan beberapa tema utama yang menumpukan pada isu berkaitan pemuliharaan alam sekitar, iklim, inovasi, kecerdasan buatan dan memanfaatkan sukan dalam media untuk mempromosikan nilai positif, menurut WAM.
Kongres itu turut akan mengetengahkan peranan media dalam menyebarkan nilai positif dan memperkaya pelbagai konsep kelestarian berkaitan isu alam sekitar dan iklim.
Ia juga menyediakan satu-satunya platform untuk saluran media nasional, serantau dan antarabangsa menghasilkan ramalan bagi sektor media global dan menonjolkan peranan pentingnya dalam mempercepat pembangunan mampan di seluruh dunia dan untuk menjalin perkongsian dalam kalangan pemain media global.
Ketua Pengarah WAM dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tinggi GMC, Mohammed Jalal Al Rayssi, berkata acara itu membuktikan kemantapan kedudukan UAE sebagai hab penting bagi industri media dan ramalan masa depan, mengukuhkan kedudukan UAE sebagai destinasi pilihan utama untuk kreatif, inovator dan bakat dalam industri media secara global.
Beliau berkata GMC 2023 juga bertepatan dengan UAE sebagai tuan rumah Persidangan Pihak-pihak Ke-28 (COP28) yang akan diadakan di Expo City Dubai pada akhir tahun.
Al Rayssi berkata ia sekali gus menunjukan peranan penting media alam sekitar dalam menyokong usaha antarabangsa untuk mempromosikan tindakan iklim global, di samping meningkatkan kesedaran mengenainya dengan lebih inovatif dan berpengaruh yang mampu menyampaikan mesej positif kepada semua masyarakat di seluruh dunia, lapor WAM.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ADNEC, Humaid Matar Al Dhaheri, berkata Kongres Media Global memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan sektor media.
“Kongres menyediakan platform untuk mempamerkan teknologi terkini, memupuk inovasi dan menghimpunkan bakat kreatif dari seluruh dunia.
“Ia juga dapat membina jambatan kerjasama antara industri media dan industri lain di peringkat serantau dan antarabangsa untuk mewujudkan perkongsian strategik,” katanya.
Kongres berkenaan menyediakan platform ideal untuk syarikat antarabangsa yang ingin memasuki pasaran industri media di rantau GCC dan MENA.
GMC sulung disertai lebih 200 CEO dan 1,200 perintis media, pakar dan pempengaruh dari enam benua. – Bernama, 10 Julai, 2023.
Komen