ARAB Saudi dan Perancis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan kerjasama dalam sektor tenaga, dengan menumpukan tenaga bersih yang dijana daripada sumber boleh diperbaharu, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada Ahad.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan antara Menteri Tenaga Arab Saudi Abdulaziz bin Salman dan rakan sejawatannya dari Perancis Agnes Pannier-Runacher di Riyadh pada Sabtu, kedua-dua negara mengakui bahawa aspek tenaga satu daripada “tonggak utama” dalam kerjasama.
Arab Saudi dan Perancis telah sepakat mengenai pelan hala tuju kerjasama dalam pengeluaran hidrogen dan elektrik daripada sumber boleh diperbaharu.
Kedua-dua negara turut mengiktiraf bahawa hidrogen bersih adalah bahan api penting untuk mencapai matlamat bersama bagi menggalakkan pembangunan ekonomi yang mampan sambil mengurangkan kesan perubahan iklim.
Kesepakatan turut dicapai untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan mengukuhkan kerjasama dalam bidang tenaga nuklear, pengurusan sisa radioaktif dan aplikasi nuklear.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bersetuju berganding bahu dalam mencari penyelesaian inovatif untuk menghasilkan hidrogen dengan kaedah paling berkesan dan berdaya saing dan mempromosikan penggunaannya dalam industri, penjanaan kuasa, bangunan dan sektor lain.
Pasukan petugas bersama akan ditubuhkan bagi memastikan kerjasama yang disepakati itu membuahkan hasil. – Bernama, 10 Julai 2023.
Komen