Perikatan masih harap jalin kerjasama dengan Umno, kata PAS


Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata Perikatan Nasional hanya bermusuh dengan Pakatan Harapan, bukan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) masih berharap untuk menjalin kerjasama dengan Umno walaupun parti itu kini bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad dipetik media berkata demikian pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PRN Negeri Sembilan di Seremban malam tadi.

PN katanya hanya bermusuh dengan PH, bukan Umno.

“Musuh kita dalam pilihan raya ini Pakatan Harapan, bukan Umno. Kita masih anggap bahawa Umno itu boleh untuk kita buat sekutu selepas pilihan raya, itu harapan kita.

“Kami tak anggap Umno merbahaya. Umno kini diambang kehancuran kerana mempunyai Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden” katanya dipetik The Vibes.

Selepas pilihan raya umum 2018, Umno dan PAS menjalin kerjasama membentuk Muafakat Nasional bagi meraih sokongan orang Melayu dan menjatuhkan kerajaan PH.

Dua parti itu kemudian membentuk kerajaan baharu bersama Bersatu selepas kerajaan PH tumbang ekoran percaturan politik Langkah Sheraton pada Februari 2020.

PAS dan Bersatu menubuhkan PN, manakala Umno tinggalkan Muafakat Nasional susulan perbalahan dengan Bersatu.

Umno kini berada dalam kerajaan perpaduan yang terdiri daripada PH, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan, Muda, Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat.

Kerajaan perpaduan ditubuhkan atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ekoran negara mengalami situasi Parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

PH dan PN akan bertembung dalam pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos ini. – 10 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen