8 maut serangan bom kereta di Syria


Lapan termasuk tiga kanak-kanak maut dalam dua serangan bom membabitkan kenderaan yang dipasang bom di utara Syria semalam. – Gambar AFP, 10 Julai, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA lapan termasuk tiga kanak-kanak maut dalam dua serangan bom membabitkan kenderaan yang dipasang bom di utara Syria semalam, kata pemantau perang.

Satu letupan berlaku di sebuah kedai membaiki kereta di Shawa, sebuah kampung berhampiran sempadan Turkiye yang dikuasai pejuang pro-Ankara.

Lima orang awam termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dan 10 yang lain cedera, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.

Kawasan yang dikawal Turkiye dan proksi Syria di utara Syria adalah tempat kejadian pembunuhan, pengeboman dan pertempuran yang disasarkan antara kumpulan bersenjata.

Dalam kejadian kedua, bahan letupan yang dipasang di dalam kenderaan membunuh tiga pejuang yang bergabung dengan Pasukan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish di bandar Manbij, menurut Observatory.

Manbij adalah bekas kubu kuat kumpulan Negara Islam yang kini dipegang oleh majlis tentera yang bergabung dengan SDF yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Perang Syria meletus pada 2011 dengan penindasan kejam terhadap protes antikerajaan.

Sejak itu ia berkembang menjadi konflik kompleks yang membabitkan pejuang jihad dan kuasa asing, dan mengorbankan lebih setengah juta penduduk serta jutaan orang kehilangan tempat tinggal. – AFP, 10 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen