Ukraine harap hasil terbaik dari sidang kemuncak NATO


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky bertemu Presiden Poland Andrzej Duda pada pertemuan di Lutsk. – Gambar AFP, 10 Julai, 2023.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky semalam menyuarakan harapan untuk melihat hasil terbaik daripada sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mulai esok di mana Kyiv mengharapkan negaranya boleh menyertai perikatan itu.

Harapan itu disuarakan selepas beliau bertemu rakan sejawatannya dari Poland, Andrzej Duda, dengan Zelensky mengatakan, kedua-duanya membincangkan mengenai sidang kemuncak itu di Vilnius dan bersetuju untuk bekerjasama mendapatkan keputusan terbaik untuk Ukraine.

Poland antara penyokong terbesar Ukraine dalam NATO dan telah berkata kerajaannya menginginkan jaminan keselamatan untuk negara itu daripada ahli NATO lain.

Zelensky berkata beliau tidak menjangkakan Ukraine benar-benar menyertai NATO sehingga selepas perang tetapi beliau berharap sidang kemuncak itu akan memberi “isyarat jelas” mengenai hasrat untuk membawa negaranya ke dalam perikatan itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden yang tiba semalam di Britain untuk menghadiri sidang kemuncak NATO, berkata beliau berharap pemimpin pakatan tentera akan membentangkan laluan rasional terhadap Ukraine untuk negara itu layak menyertai NATO.

Bercakap kepada CNN, beliau berkata terdapat kriteria lain perlu dipenuhi, termasuk pendemokrasian.

“Saya tidak berasakan wujud sebulat suara dalam NATO sama ada mahu membawa Ukraine ke dalam keanggotaan NATO pada masa sekarang ketika negara itu di tengah-tengah peperangan,” katanya.

Beliau berkata jika membawa masuk Ukraine sekarang, ia bermakna “perang dengan Russia” kerana komitmen NATO terhadap pertahanan kolektif.

Kelmarin, Zelensky kembali dari Turkiye selepas hari ke-500 pencerobohan berskala penuh Russia selepas lawatan serantau untuk mendapatkan sokongan menjelang sidang kemuncak dengan sekutu Barat, yang menjanjikan berbilion-bilion bantuan ketenteraan.

Lawatannya itu diiringi lima komander tertinggi dari rejimen Azov yang sepatutnya kekal di Turkiye sehingga tamat konflik di bawah perjanjian pertukaran tahanan dengan Moscow.

Kepulangan mereka ke Ukraine menimbulkan kemarahan Kremlin, dengan jurucakap Dmitry Peskov yang dipetik oleh agensi berita Russia Sabtu lalu berkata, ia adalah pelanggaran langsung perjanjian dengan Turkiye. – AFP, 10 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen