Penyokong Pita Limjaroenrat berhimpun menjelang undian PM Thailand


Pemimpin Parti Move Forward Pita Limjaroenrat ketika berucap di hadapan penyokong di Bangkok semalam. – Gambar AFP, 10 Julai 2023.

PEMIMPIN Parti Move Forward (MFP) Pita Limjaroenrat semalam merayu sokongan berterusan dari penyokongnya sambil menegaskan beliau “tidak akan berundur” menjelang pengundian Parlimen bagi memilih perdana menteri baharu Thailand minggu ini.

Parti pimpinan Pita, yang disebut-sebut mendahului calon perdana menteri Thailand baharu, memperoleh kerusi terbanyak pada pilihan raya pada 14 Mei lalu, namun tiada jaminan MFP dapat membentuk kerajaan. Keputusan pilihan raya itu juga belum tentu menjamin Pita akan jadi perdana menteri.

MFP mengetuai gabungan lapan parti, menjadikan mereka mempunyai 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat. Ia memerlukan 376 kerusi untuk membentuk kerajaan, sekali gus Pita sebagai perdana menteri.

Pita juga menghadapi tentangan daripada Senat yang dianggotai 250 ahli yang dilantik oleh tentera, susulan desakan partinya untuk meminda undang-undang penghinaan terhadap keluarga diraja, serta rancangan untuk memecahkan monopoli perniagaan.

Beliau juga disiasat atas dakwaan memiliki saham dalam sebuah syarikat televisyen yang sudah ditutup. Perlembagaan Thailand melarang pemegang saham syarikat media bertanding dalam pilihan raya.

Di hadapan ratusan penyokongnya di Bangkok semalam, Pita berkata pengundian Dewan Rakyat dan Dewan Negara minggu ini adalah hari yang begitu penting bagi Thailand.

“Jika anda tidak berundur, maka saya juga begitu.

“Jika kita membuat keputusan yang betul dan memberi peluang kepada Thailand, negara kita akan membangun,” katanya.

Namun jika keputusan itu salah, kitaran demokrasi yang lemah di Thailand akan berterusan, tambah beliau.

“Saya tidak tahu berapa lama kita perlu menunggu sebelum peluang keemasan 13 Julai akan datang lagi,” kata Pita, merujuk kepada tarikh pengundian Parlimen.

Beliau dalam pada itu mengingatkan Senat, berkata “kita semua ahli politik rakyat”.

“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang menyatakan sokongan kepada rakyat dan berpihak kepada majoriti rakyat.”

Parti Bangsa Thai Bersatu pada minggu lalu berkata ia sedang menimbang untuk meletakkan calon saingan untuk menentang Pita.

Perdana menteri sementara Prayut Chan-O-Cha, yang menggulingkan kerajaan menerusi rampasan kuasa 2014 dan membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya 2019, bertanding semula dalam pilihan raya 14 Mei lalu sebagai calon utama parti itu.

Penganalisis politik berkata Prayut mungkin akan kekal berkuasa di bawah kerajaan minoriti dengan sokongan daripada Senat.– AFP, 10 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen