2 maut, 3 parah kemalangan babit bas pelancong dan kereta


Kemalangan berlaku membabitkan sebuah bas pelancong La Holiday dari Singapura ke Kuala Lumpur dengan sebuah kereta Proton Wira kira-kira 5 pagi di KM 285.5 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara). – Gambar Facebook, 10 Julai 2023.

DUA maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dan sebuah kereta di KM 285.5 Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara), kira-kira 5 pagi ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Kanan Bomba II Shahrudin Mohd Din berkata setakat ini pihaknya mendapat maklumat terdapat 22 mangsa terlibat dalam kemalangan itu.

Katanya mangsa yang meninggal dunia melibatkan seorang lelaki iaitu pemandu bas dan penumpang seorang wanita Indonesia manakala dua mangsa yang menaiki kereta selamat.

“Kemalangan berlaku membabitkan sebuah bas pelancong (La Holiday) dari Singapura ke Kuala Lumpur dengan sebuah kereta Proton Wira, punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahrudin berkata mangsa yang lain belum dikenal pasti kerana telah dibawa ke hospital dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Bernama, 10 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen