Zahid yakin MCA, MIC setia dengan BN walau ‘dilamar’ parti lain


Zahid melahirkan keyakinan terhadap kesetiaan MCA dan MIC yang sudah bersama BN sejak sekian lama. – Gambar Facebook Zahid Hamidi, 9 Julai, 2023.

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi yakin MCA dan MIC akan terus kekal bersama BN biar pun ‘dilamar’ parti lain pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata parti yang membuat lamaran itu sering mengambil kesempatan setiap kali tiba pilihan raya termasuk pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya umum (PRU).

“Apabila ada PRK dan PRN lebih-lebih lagi PRU, terus-terusan tawaran-tawaran ini akan dilakukan mereka tetapi saya yakin, MCA dan MIC akan tetap bersama dengan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Minggu Usahawan Negara dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Merdeka, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi Md Nor yang mempelawa MCA serta MIC bekerjasama pada PRN nanti dan meninggalkan BN.

Ditanya mengenai keputusan bekas timbalan ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz yang menyertai Bersatu, Zahid mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas ahli partinya itu ambil menegaskan Umno dan BN hanya memerlukan pemimpin yang setia. – Bernama, 9 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen