VETERAN DAP Lim Kit Siang berkata beliau tidak akan menerima sebarang permohonan maaf daripada Annuar Musa kerana mengaitkannya dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Kit Siang berkata beliau mengarahkan peguamnya untuk menuntut pampasan kerana memfitnahnya.
Beliau menambah Annuar yang kini bersama PAS mencontohi Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam membuat tuduhan liar, tidak masuk akal dan tidak berasas terhadap beliau dan DAP.
Lim berkata Annuar terlebih dahulu mengaitkannya dengan rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan kini membuat dakwaan baharu bahawa DAP bertentangan dengan nilai Islam.
“Ini adalah satu lagi contoh pembohongan, kepalsuan, berita palsu dan ucapan kebencian yang disebarkan PAS di bawah pimpinan Hadi menjelan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.
“Saya mengarahkan peguam saya untuk tidak menerima permohonan maaf Annuar dan mendesak untuk mendapatkan pampasan kerana memfitnah saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dua hari lalu Lim berkata beliau bersedia untuk menyaman Annuar kerana mengaitkannya dengan rusuhan kaum 1969.
Pejuang DAP itu menafikan terlibat dalam insiden itu.
Annuar dilaporkan menuduh Lim mencetuskan ketegangan kaum pada 1969 dalam satu ceramah PAS di Bachok, Kelantan.
Dalam satu lagi ceramah PAS malam tadi, Annuar mencabar Lim untuk mempercepatkan tindakan undang-undang terhadapnya.
Beliau juga sekali lagi mengaitkan bekas ahli parlimen Iskandar Puteri itu dengan rusuhan 19 Mei.
“Kit Siang kata nak saman ambo (saya). Tolong kirim salam. Dia (Kit Siang) silap orang pilih nak saman, ambo minta Kit Siang percepat proses menyaman saya,” katanya.
Lim dalam kenyataannya hari ini berkata DAP sentiasa meletakkan calon yang mewakili semua kaum dan semua agama sejak pilihan raya umum pertamanya pada 1969.
“Hari ini kita mempunyai dua ahli Parlimen Melayu/Islam selain beberapa Adun dan wanita di pelbagai negeri,” katanya.
Beliau juga berkata Pengerusi DAP Lim Guan Eng mengorbankan kerusi Parlimen Kota Melaka dan dipenjarakan bagi mempertahankan kehormatan dan maruah seorang gadis Melayu bawah umur pada 1989.
“Adakah mana-mana pemimpin PAS melakukan pengorbanan untuk mana-mana gadis Melayu bawah umur, apatah lagi gadis Malaysia yang berlainan bangsa atau agama?,” katanya. – 9 Julai, 2023.
Komen