Kelasi solo diselamatkan di selatan Australia


Xavier Doerr, 22, cuba mencipta rekod menjadi kelasi terpantas dan paling muda mengelilingi Australia dengan bot terkecil sepanjang 6.5 meter apabila cuaca buruk membantutkan usahanya pada petang Jumaat. – Gambar Instagram, 9 Julai, 2023.

SEORANG kelasi solo yang cuba mengelilingi Australia diselamatkan dari keadaan getir laut bergelora di pantai selatan negara itu, lapor Xinhua.

Xavier Doerr, 22, cuba mencipta rekod menjadi kelasi terpantas dan paling muda mengelilingi Australia dengan bot terkecil sepanjang 6.5 meter apabila cuaca buruk membantutkan usahanya pada petang Jumaat.

Kerosakan pada botnya dan kecederaan memaksa Doerr untuk mengaktifkan suar kecemasan mendorong operasi mencari dan menyelamat oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA).

Walaupun angin kencang kapal pengangkut Theodore JR berjaya mengesan Doerr pada petang Sabtu lebih 600 kilometer ke barat Pulau Kangaroo di Great Australian Bight.

Lee Randall, yang menguruskan pelayaran Doerr berkata “secara fizikal dia mengalami beberapa kecederaan dan bot itu dinaiki air. Dia benar-benar diuji dengan sesuatu yang sukar bagi manusia lain boleh hadapi.”

Doerr berlepas dari negeri asalnya di Queensland pada Mei dan berharap untuk menjadi orang pertama yang belayar mengelilingi Australia dalam masa kurang 50 hari mengatasi rekod sebelumnya iaitu 58 hari.

Bagaimanapun dia terpaksa berlabuh di Australia Barat (WA) pada Jun bagi membaik pulih botnya sekali gus menggagalkan percubaannya untuk mengelilingi Australia tanpa bantuan.

“AMSA kini memberikan nasihat perubatan dan akan membuat rancangan memindahkan kelasi itu ke darat sebaik sahaja penilaian mengenai keadaannya selesai,” menurut AMSA dalam satu kenyataan media pada petang Sabtu. – Bernama, 9 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen