Pilihan raya Bengal Barat, 15 terbunuh


Keganasan berskala besar merosakkan suasana pilihan raya di pelbagai lokasi di Bengal Barat semalam. – Gambar AFP, 9 Julai, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA 15 terbunuh manakala ramai lagi cedera semasa pilihan raya luar bandar yang dikenali sebagai “pengundian panchayat” di Bengal Barat semalam, lapor Xinhua.

Sebanyak lima kematian direkodkan di Murshidabad, diikuti tiga kematian di Cooch Behar, dua kematian masing-masing di Burdwan Timur dan Dinajpur Utara manakala seorang maut di daerah Malda, Nadia dan Selatan 24 Parganas.

Keganasan berskala besar merosakkan suasana pilihan raya di pelbagai lokasi.

Serangan bom buatan sendiri dan penggunaan kayu, parang dan batu bata turut dapat disaksikan antara kumpulan bertelagah.

Serangan ke atas pusat mengundi dan penyelewengan kertas undi juga dilaporkan.

Parti politik saling menyalahkan antara satu sama lain atas keganasan itu.

Pengundian bermula pada 7 pagi waktu tempatan Sabtu dan lebih 56 juta pengundi layak mengundi dalam pilihan raya itu.

Media tempatan memetik angka suruhanjaya pilihan raya bahasa peratusan keluar mengundi sebanyak 66.28% direkodkan sehingga 5 petang waktu tempatan.

Menurut penyiar kerajaan India All India Radio (AIR), sekurang-kurangnya 600 syarikat pasukan separa tentera bersama-sama 70,000 anggota polis dikerah mengawal keadaan.

Sejak pilihan raya diumumkan di Benggala Barat pada 8 Jun, insiden keganasan dan pembunuhan dilaporkan di seluruh negeri. – Bernama, 9 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen