Annuar lebih sesuai peringkat nasional, kata Hadi


Annuar Musa menyertai PAS selepas dipecat Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2023.

ANNUAR Musa yang baru menyertai PAS tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Kelantan akan datang kerana kepimpinan parti mahukan beliau memainkan peranan lebih besar di peringkat nasional, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Dilaporkan Sinar Harian, Hadi dipetik berkata yang Annuar yang juga bekas setiausaha agung Umno tidak berhasrat bertanding.

“Itu (kedudukan Annuar) kita serah kepada pemimpin PAS Kelantan.

“Namun kita lebih setuju dia berperanan di peringkat nasional (kerana) dia tokoh besar, bukan peringkat negeri (tapi) peringkat lebih besar,” katanya.

Annuar dipecat Umno selepas pilihan raya umum tahun lepas atas dakwaan melakukan tindakan bertentangan dengan kepentingan parti.

Beliau kemudiannya membentuk NGO dikenali sebagai Muafakat Nasional sebelum menyertai PAS.

Sebelum ini, Annuar dilaporkan berkata yang beliau adalah calon terakhir yang perlu dipertimbangkan PAS pada PRN akan datang, menegaskan yang tindakannya adalah demi kepentingan agama dan orang Melayu. – 9 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen