Kerajaan harap kerjasama swasta dalam dasar kenaikan gaji, kata menteri


Rafizi Ramli berkata kerajaan mahu merealisasikan dasar kenaikan gaji progresif dalam menghadapi isu kenaikan kos sara hidup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.

KERAJAAN berharap sektor swasta turut memberikan komitmen untuk menjalinkan kerjasama bagi merealisasikan dasar kenaikan gaji yang progresif dalam menghadapi isu berkaitan kenaikan kos sara hidup.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan memerlukan dasar komprehensif membabitkan swasta dan awam, yang kini menjadi keutamaan kerajaan, untuk bertindak merapatkan jurang ketara antara pertumbuhan gaji ramai dengan kenaikan kos sara hidup.

Katanya, kerajaan sudah dan sedang berusaha menangani isu berkaitan harga barangan dan inflasi, namun sekiranya gaji tidak naik secara berkala, isu harga barangan dan kenaikan kos sara hidup tetap tidak akan dapat diselesaikan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Madani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti di Alor Setar, Kedah hari ini.

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan akan membincangkan soal mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam, berikutan tiada kenaikan diberikan kepada penjawat awam bagi tempoh yang agak lama, dengan kali terakhir skim gaji berkenaan disemak pada 2013.

Sementara itu, Rafizi berkata kerajaan tidak boleh lagi menguruskan ekonomi mengikut cara lama iaitu dengan cara memberikan tumpuan sepenuhnya aspek pelaburan semata-mata hingga menyebabkan golongan kaya semakin kaya, namunu pertumbuhan kekayaan itu tidak sampai kepada rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata, tiba masanya untuk isu berkenaan dibincangkan dan ketika ini sudah ada petanda mengenai ekonomi negara semakin bertambah baik, terutamanya dari segi penurunan inflasi, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pelaburan masuk ke dalam negara yang tinggi.

“Fokus utama sekarang adalah menangani kemiskinan tegar, kita perlu mengutamakan isu ini terlebih dahulu dengan cara mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui pertanian dan keusahawanan. Perhatian segera kita adalah untuk menangani soal pendapatan,” katanya. – Bernama, 8 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen