WARGA Pulau Pinang dan pelancong boleh menikmati perkhidmatan feri ulang-alik yang lebih canggih dari Pangkalan Raja Tun Uda di George Town ke Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth secara percuma selama sebulan mulai 7 Ogos depan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ini susulan ketibaan empat feri baharu di Pulau Pinang dan pengendali Penang Port Sdn Bhd akan mengambil masa empat minggu sebagai tempoh percubaan untuk menjalankan latihan.
Beliau berkata latihan itu turut membabitkan pengemudi feri dan pada masa sama, Jabatan Laut akan melakukan pentauliahan terhadap keempat-empat feri.
“Perkhidmatan feri baharu ini akan mula beroperasi pada 7 Ogos dari jam 6 pagi hingga 8.30 malam manakala kekerapannya pada waktu kemuncak adalah setiap 30 minit dan masa yang diambil untuk perjalanan sehala adalah 10 minit.
“Apabila ia mula beroperasi pada 7 Ogos, semua penumpang termasuk bukan warganegara boleh menikmati perkhidmatan ini secara percuma selama sebulan,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.
Loke berkata dari segi kapasiti, feri itu mampu memuatkan 150 penumpang pejalan kaki serta 50 penumpang bermotosikal dan berbasikal pada satu-satu masa.
Beliau berkata tiga feri akan beroperasi setiap hari manakala sebuah lagi diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.
Katanya feri itu dibangunkan dengan konsep baharu serta dilengkapi ciri keselamatan termasuk kamera litar tertutup.
Ditanya mengenai kadar tambang bagi perkhidmatan itu, Loke berkata ia akan diumumkan kemudian selepas mengadakan perbincangan serta mencapai kata sepakat dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kadar tambang yang akan ditetapkan kelak adalah berpatutan. – Bernama, 8 Julai, 2023.
Komen