TURKIYE menjangkakan inisiatif bijian Laut Hitam atau perjanjian bijirin akan dilanjutkan, kata presidennya Recep Tayyip Erdogan selepas perbincangan bersama rakan sejawatnya dari Ukraine Volodymyr Zelenskyy, lapor agensi berita Sputnik.
Erdogan dan Zelenskyy mengadakan perbincangan selama kira-kira dua jam di Vahdettin Mansion di Istanbul pada Jumaat.
Bercakap pada sidang akhbar selepas itu, Erdogan berharap perjanjian bijirin yang dimuktamadkan pada Julai 2022 di Istanbul akan dilanjutkan.
Beliau turut dijangka mengadakan perbincangan mengenai perjanjian bijirin itu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin sama ada melalui telefon atau secara bersemuka.
Putin dijangka mengadakan lawatan ke Turkiye pada Ogos.
Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pada Jumaat berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pertemuan antara Putin dan Erdogan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Zelenskyy memberitahu pemberita koridor baharu bijirin yang berbeza perlu dilaksanakan dan untuk itu, Turkiye dipelawa ke “sidang kemuncak keamanan global” yang sedang diusahakan oleh Ukraine.
Pada 22 Julai 2022, Russia, Ukraine, Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mencapai persetujuan untuk menyediakan koridor maritim kemanusiaan bagi membolehkan kapal dengan muatan makanan dan baja dieksport dari pelabuhan Laut Hitam Ukraine.
Moscow pada dasarnya bersetuju untuk melanjutkan perjanjian itu yang dijangka tamat pada pertengahan Julai, tetapi mendakwa beberapa komponen dalam memorandum berkenaan belum dilaksanakan sepenuhnya.
Pada 7 Jun, Kementerian Pertahanan Russia berkata, kumpulan pensabotaj Ukraine meletupkan saluran paip ammonia Tolyatti-Odesa di Wilayah Kharkiv.
Peskov berkata insiden letupan itu akan merumitkan kesepakatan untuk melanjutkan perjanjian berkenaan.
Awal minggu ini, Timbalan Menteri Luar Russia, Sergey Vershinin berkata Russia percaya perjanjian bijirin itu akan tamat pada 18 Julai. – Bernama, 8 Julai, 2023.
Komen