PAKISTAN pada Jumaat melancarkan projek memajukan berjuta-juta hektar tanah kerajaan yang terbiar bagi menangani cabaran ketakjaminan makanan, lapor agensi berita Anadolu.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif merasmikan pusat kecemerlangan sistem maklumat dan pengurusan tanah untuk meningkatkan keterjaminan makanan, menurut kenyataan pejabatnya.
Pakistan akan memajukan 4.4 juta hektar daripada kira-kira 9 juta hektar tanah terbiar kepada tanah yang produktif yang boleh diusahakan menggunakan teknologi agri moden, katanya.
“Sistem paling moden akan membantu mengoptimumkan pengeluaran pertanian melalui teknologi inovatif dan amalan pertanian mampan berdasarkan potensi agro-ekologi tanah, selain memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar dan pemuliharaan alam sekitar,” menurut Syarif.
Ekonomi Pakistan berasaskan pertanian dengan sektor pertaniannya menyumbang 23% kepada KDNK dan menyediakan pekerjaan kepada hampir 37.4% tenaga kerja negara itu.
Kawasan yang kini dibangunkan untuk pertanian semakin berkurangan, manakala jurang pengeluaran penduduk semakin meningkat dengan import berkaitan pertanian yang mencecah paras AS$10 bilion, menyebabkan wujud tekanan ekonomi.
Menurut Program Makanan Sedunia, makanan untuk 36.9% rakyat Pakistan tidak terjamin dengan 18.3% daripada jumlah itu menghadapi krisis makanan yang teruk.
Walaupun krisis gandum turut meningkat dengan jumlah permintaan mencecah 30.8 juta tan metrik, pengeluaran semasa hanya kira-kira 26.4mmt atau kekurangan hampir 4mmt.
“Pengeluaran kapas juga merosot sebanyak 40% daripada 14.8m bales kepada -5 juta bales dalam tempoh 10 tahun lalu,” menurut dokumen itu.
Menerusi projek baharu itu, kerajaan dengan sokongan angkatan tentera akan meningkatkan pertumbuhan dan pengeluaran pertanian di kawasan tanah terbiar seluas lebih 9 juta hektar dalam beberapa fasa. – Bernama, 8 Julai, 2023.
Komen