2 tentera maut bom kereta meletup berhampiran bangunan Parlimen Somalia


Bom kereta meletup pada Ahad di sebuah pusat pemeriksaan selepas pihak tentera memintas dan menghentikan kenderaan yang mencurigakan itu. – Gambar EPA, 26 Mac, 2018.

SEBUAH bom kereta meletup berhampiran bangunan Parlimen Somalia di ibu kota Mogadishu, meragut sekurang-kurangnya dua nyawa dan mencederakan beberapa orang lagi, kata seorang pegawai kanan polis.

Bom itu meletup pada Ahad di sebuah pusat pemeriksaan selepas pihak tentera memintas dan menghentikan kenderaan yang mencurigakan itu, kata Kapten Mohamed Hussein.

Mangsa yang maut termasuk dua anggota tentera dan seorang pengebom bunuh diri manakala 10 yang cedera adalah pemandu beca.

Abdikadir Abdirahman, pengarah ambulans Amin yang merupakan satu-satunya perkhidmatan menyelamat di bandar itu, berkata tiga orang maut dan seorang cedera dalam insiden itu.

Serangan itu berlaku berhampiran istana presiden Somalia, kira-kira 200 meter dari pintu pagar utamanya, dan berkongsi jarak yang sama dari Kementerian Dalam Negeri.

Beberapa jam sebelum itu, sebuah lagi bom kereta meletup di pinggir bandar Mogadishu dan menyebabkan dua orang terbunuh termasuk pemandu kereta terbabit.

Seorang pegawai polis, Mohamed Abdi, berkata letupan berlaku sejurus selepas beberapa anggota tentera tiba di lokasi kejadian untuk memeriksa kenderaan mencurigakan itu yang dikatakan terbenam di jalan berpasir dalam kawasan Sinka Dheer.

Kedua-dua letupan berlaku tiga hari selepas sekurang-kurangnya 14 orang maut manakala 10 lagi cedera dalam insiden pengeboman kereta berhampiran Hotel Weheliye di Jalan Makkah Almukarramah yang sibuk.

Mogadishu sering menjadi sasaran serangan al-Shabaab, yang kini berjuang untuk menggulingkan kerajaan Somalia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Satu insiden pengeboman trak pada Oktober meragut nyawa lebih 500 orang, serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan bersenjata itu. – Bernama, 26 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen