Sarawak jadi negeri maju menjelang 2030, kata Abang Johari


Desmond Davidson

Premier Sarawak Abang Johari Openg data statistik ekonomi Bank Dunia juga merupakan petunjuk bahawa ekonomi negara berkembang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2023.

PENGISYTIHARAN Bank Dunia bahawa Sarawak kini sebuah negeri berpendapatan tinggi menunjukkan negeri itu di landasan yang betul untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030, kata Premier Abang Johari Openg.

Beliau juga berkata data statistik ekonomi Bank Dunia juga merupakan petunjuk bahawa ekonomi negara berkembang.

Beliau merujuk kepada pendapatan negara kasar (PNK) - jumlah pendapatan yang diperoleh rakyat dan perniagaan sesebuah negara - Sarawak yang menurut pakar ekonomi utama bank itu di Malaysia Apurva Sanghi telah melebihi ambang pendapatan tinggi AS$13,205 (RM61,500).

Data pendapatan tinggi terkini Bank Dunia dikeluarkan pada 1 Julai.

Menurut Sanghi data itu berdasarkan penukaran data Bank Dunia yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Abang Johari ketika bercakap kepada pemberita selepas mengisytiharkan pembukaan masjid di Taman Uni di Kota Samarahan berkata, wang daripada pendapatan itu akan digunakan untuk membiayai pelbagai projek pembangunan yang telah dirancang mengikut strategi pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030).

Beliau berkata projek adalah dalam tiga sektor utama pelancongan, pertanian dan pembuatan.

Dalam pelancongan, satu bidang utama yang perlu dibangunkan adalah dalam perhubungan udara – rujukan halus kepada syarikat penerbangan butik negeri itu.

Beliau menambah wang itu juga akan disalurkan untuk membangunkan infrastruktur asas negeri - elektrik dan air.

Awal bulan ini, Timbalan Premier Dr Sim Kui Hian, telah mendedahkan hasil negeri dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini hampir mencecah RM11.9 bilion yang diterimanya sepanjang tahun lepas. – 7 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen