Bekas PM Itali Silvio Berluzconi tinggalkan harta berbilion dolar untuk anak, rakan


Silvio Berlusconi rBerlusconi turut mewariskan €100 juta (AS$109 juta) setiap seorang kepada pasangannya, Ahli Parlimen Marta Fascina, 33, dan abangnya Paolo. – Gambar AFP, 7 Julai, 2023.

BEKAS perdana menteri Itali, Silvio Berlusconi, yang meninggal dunia pada Jun lalu, dilaporkan meninggalkan harta pusaka bernilai berbilion dolar untuk saudara dan rakan rapatnya. 

Mengikut wasiat Berlusconi, dua anak sulungnya Marina dan Pier Silvio bakal mendapat manfaat paling banyak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Agensi Berita ANSA pada Khamis. 

Kedua-dua anak hasil perkahwinan pertama Berlusconi, bakal memperoleh 53% kepentingan dalam syarikat induk Fininvest.

Firma itu merupakan pemegang saham utama dalam MediaForEuropa (MFE) yang sebelum ini dikenali sebagai Mediaset dan pemegang saham majoriti penyiar televisyen Jerman ProSiebenSat.1.

Selain itu, Marina dan Pier Silvio turut memperoleh hartanah lain termasuk vila.

Berlusconi meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Tiga anak daripada perkahwinan kedua - Barbara, Eleonara dan Luigi - masing-masing menerima saham dalam Fininvest.

Berlusconi turut mewariskan €100 juta (AS$109 juta) setiap seorang kepada pasangannya, Ahli Parlimen Marta Fascina, 33, dan abangnya Paolo. 

Marcello dell’Utri yang menjadi orang kepercayaan Berlusconi menerima €30 juta.

Dia kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan mafia. – Bernama, 7 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen