HAMPIR separuh bekalan air paip di Amerika Syarikat (AS) tercemar dengan bahan kimia yang dikenali sebagai “bahan kimia kekal”, menurut kajian terkini daripada Suruhanjaya Geologi AS.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Environment International edisi Ogos, pendedahan terhadap bahan “per- and poly-fluoroalkyl” (PFAS), juga dikenali sebagai “bahan kimia kekal” dikesan dalam air minuman merupakan kebimbangan kesihatan global, lapor Xinhua.
Pasukan penyelidik menjalankan satu kajian nasional untuk membandingkan PFAS dalam air paip dari 716 lokasi di seluruh AS sejak dari 2016 hingga 2021.
Pasukan terbabit menganggarkan sekurang-kurangnya satu PFAS dapat dikesan dalam kira-kira 45% sampel air minuman di AS.
Kajian itu memerlukan penilaian lanjut tentang risiko kesihatan kumulatif PFAS sebagai satu kelas dan digabungkan dengan bahan cemar lain yang berlaku serentak. – Bernama, 7 Julai, 2023.
Komen