MAHKAMAH Rayuan membenarkan permohonan Rosmah Mansor untuk menangguhkan dua kes rayuannya yang dijadualkan didengar minggu depan.
Dua rayuan itu termasuk permohonannya untuk Hakim Zaini Mazlan undur diri daripada mendengar perbicaraan kes rasuah projek tenaga solar di sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Satu lagi kes rayuannya ialah terhadap hukuman dan sabitan dijatuhkan Zaini kepadanya susulan perbicaraan kes tahun lalu.
Panel tiga hakim hari ini membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan prosiding rayuan itu.
Hakim Mahkamah Rayuan Azizah Nawawi yang mempengerusikan panel itu berkata mahkamah membenarkan penangguhan itu kerana ini kali pertama Rosmah memohon untuk kesnya ditangguhkan.
Dua lagi panel ialah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan S Komathy.
Azizah berkata pihak pendakwa juga tidak membantah penangguhan itu.
Peguam Jagjit Singh yang mewakili Rosmah berkata penangguhan itu penting kerana Rosmah perlu memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman membatalkan perbicaraan itu, mendakwa pelantikan pendakwa raya Gopal Sri Ram adalah tidak sah.
Katanya, usul itu ditetapkan bagi pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan pada 4 Ogos.
Timbalan Pendakwa Raya K Mangai memberitahu panel hakim beliau diarahkan untuk tidak membantah permohonan itu.
Rosmah yang juga isteri bekas perdana menteri Najib Razak memfailkan rayuan terhadap Zaini selepas hakim itu enggan menarik diri daripada mengendalikan perbicaraan kes rasuah solar berkenaan.
Mahkamah Rayuan juga dijadualkan mendengar rayuan substantif mengenepikan sabitan hukuman terhadap Rosmah pada tarikh sama.
Rayuan itu dijadualkan didengar antara 12 Julai dan 14 Julai. – 7 Julai, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen