Musk ancam saman Meta kerana Threads


Twitter menuduh Meta melakukan penyelewengan serta menyalahi undang-undang rahsia perdagangan Twitter dan harta intelek lain. – Gambar AFP, 7 Julai, 2023.

TWITTER mengancam untuk membafilkan saman terhadap Meta selepas beberapa jam syarikat induk Instagram itu melancarkan Threads, aplikasi yang diharapkan dapat mengalahkan paltform dimiliki oleh Elon Musk itu.

Dalam surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Meta Mark Zuckerberg, yang diterbitkan oleh saluran berita dalam talian Semafor semalam, peguam Musk, Alex Spiro menuduh syarikat itu melakukan penyelewengan serta menyalahi undang-undang rahsia perdagangan Twitter dan harta intelek lain.

Surat itu mendakwa Meta mengupah puluhan bekas pekerja Twitter yang mempunyai akses terus kepada rahsia perdagangan Twitter dan maklumat sulit lain.

Threads adalah pencabar terbesar kepada Twitter milik Musk, yang menyaksikan beberapa siri pesaing berpotensi muncul tetapi belum lagi menggantikan salah satu platform media sosial terbesar di dunia itu.

Tindakan terbaru Zuckerberg terhadap Musk meningkatkan lagi persaingan antara dua jutawan itu.

Dalam tweet pertamanya sejal lebih sedekad, Zuckerberg menyiarkan meme Spiderman dalam rujukan yang jelas kepada persamaan antara Threads dan Twitter.

Threads disiarkan secara langsung di kedai aplikasi Apple dan Android di 100 negara pada 2300 GMT pada Rabu, dan maklum balas awal menyatakan terdapat persamaannya dengan Twitter.

Selepas masa beberapa jam, lebih 30 juta orang memuat turun Thread, kata Zuckerberg semalam.

“Rasanya seperti permulaan sesuatu yang istimewa, tetapi kami mempunyai banyak kerja di hadapan untuk membina aplikasi itu,” tulis Zuckerberg pada akaun Threads rasminya semalam.

Antara akaun selebriti yang sudah aktif termasuklah Jennifer Lopez, Shakira dan Hugh Jackman, serta saluran media termasuk The Washington Post dan The Economist.

Pada Threads, Zuckerberg menulis: “Ia akan mengambil sedikit masa, tetapi saya fikir harus ada aplikasi perbualan awam dengan lebih 1 bilion orang.”

Twitter berkata ia mempunyai lebih 200 juta pengguna setiap hari. – AFP, 7 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen