PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden meyakinkan Sweden mengenai sokongan penuh beliau kepada negara itu untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Sweden akan menjadikan pakatan kami lebih kuat,” kata Biden pada Rabu sempena lawatan Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson ke White House.
Biden menegaskan AS “bersungguh-sungguh menantikan keahlian Sweden” selepas kebuntuan politik beberapa bulan lepas yang menyaksikan penyertaan Sweden disekat Turkiye dan Hungary.
Ahli baharu mesti diluluskan sebulat suara oleh semua ahli NATO sedia ada.
Pemimpin AS itu memuji Sweden kerana menjadi sekutu yang kuat dan konsisten serta berkongsi nilai NATO.
Kristersson menjelaskan Sweden mahu menyertai NATO untuk “mendapatkan perlindungan bersama” dan pada masa yang sama negara itu juga yakin boleh menyumbang asetnya sendiri kepada keselamatan NATO secara keseluruhan.
Permohonan Sweden untuk menyertai NATO yang didorong oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine walaupun sudah lama berkecuali, dibuat bersama Finland, yang diterima dalam pertubuhan itu.
Protes anti-Islam di Sweden mencetuskan ketegangan antara Stockholm dan Ankara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Tidak pasti sama ada pertikaian itu boleh diselesaikan pada sidang kemuncak NATO di Vilnius, Lithuania pada Selasa dan Rabu depan.
Di Washington, Biden dan Kristersson juga merancang untuk membincangkan sokongan ke atas Ukraine, hubungan dengan China serta perubahan iklim dan teknologi baharu. – Bernama, 7 Julai, 2023.
Komen