Felda dulu dan Felda kini


Mohd Azizi Jaeh

Felda perlu ubahsuai dan rangka strategi pembangunan jangka panjang bagi penuhi keperluan pembangunan generasi kedua dan selanjutnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2023.

PERNAH diiktiraf sebagai institusi pembangunan tanah terbaik di dunia, Felda kini menghampiri tujuh dekad penubuhannya.

Dalam tempoh berkenaan, Felda melaksanakan langkah agresif untuk mengeluarkan masyarakat miskin desa daripada garis kemiskinan.

Oleh itu, amat penting bagi pentadbir menjayakan segala pembangunan polisi yang dirancang. Namun tugas ini bukan hanya dipikul di bahu pengurusan Felda, malah seluruh anggota Felda.

Selepas 67 tahun diasaskan, Felda tidak lepas daripada masalah dan cabaran dalamannya tersendiri.

Biarpun begitu, ada usaha yang mencapai matlamatnya, ada yang separa berjaya, dan ada yang perlu dirombak supaya akhirnya mencapai sasaran ditetapkan.

Cabaran yang dihadapi serta langkah yang harus ditangani ketika ini amat berbeza berbanding ketika awal Felda ditubuhkan. Sudah menjadi kelaziman, apabila masalah lama dapat diatasi, akan timbul pula masalah baru.

Umumnya, skim Felda meninggikan kualiti hidup ratusan ribu peneroka di 317 buah tanah rancangan.

Kalau tidak kesemuanya merasa senang, setidak-tidaknya sebahagian besar generasi kedua merasai tempias dan limpahan nikmat hasil perjuangan generasi terdahulu (generasi pertama).

Selari peredaran zaman, Felda perlu mengubahsuai dan merangka strategi pembangunan jangka panjang bagi memenuhi keperluan pembangunan generasi kedua dan selanjutnya.  

Pembangunan manusia akhirnya harus dilihat sebagai proses mencapai kebahagiaan merentas generasi. Ia tidak boleh terhenti dan terbantut untuk satu-satu generasi sahaja.  

Meskipun bilangan peneroka Felda kekal 112,635 keluarga, namun Felda berkembang dan membentuk lebih 2 juta komuniti – meliputi anak dan cucu peneroka.

Rata-rata tanah rancangan mula beralih kepada generasi kedua dan ada yang sudah berpindah tangan ke generasi ketiga.

Dilema generasi Felda

Apabila generasi pertama ibu bapa atau keduanya meninggal dunia, generasi kedua akan dinamakan sebagai pengganti. Salah seorang sahaja daripada generasi kedua dipilih sebagai penama untuk menjadi peneroka baharu.

Walaupun hanya salah seorang dinamakan sebagai peneroka, hasil tanah 10 ekar itu tetap akan dibahagikan mengikut kaedah faraid.

Bayangkan sumber pendapatan tanah yang diwarisi itu dikongsi kepada seluruh adik-beradik, pasti pulangannya menjadi kecil. Lagi pula, setiap adik-beradik memiliki keluarga dan kehidupan mereka sendiri.

Berbanding generasi pertama yang memiliki kuasa sepenuhnya ke atas sumber pendapatan kerana hanya dimiliki oleh satu keluarga.

Sebaliknya, generasi kedua dan kini terpaksa berkongsi agihan pendapatan lebih daripada satu keluarga.

Umpamanya jika generasi kedua mempunyai empat, lima atau enam beradik dan kesemuanya telah berkahwin, hasil pendapatan akan dikongsi oleh beberapa keluarga.

Lebih sulit, sekiranya bilangan adik-beradik yang ramai pastinya keadaan ini merugikan dari segi ekonomik.

Apatah lagi, terdapat generasi kedua terpaksa bergantung dengan aktiviti pertanian ladang dan mengambil keputusan menetap di tanah rancangan yang boleh menipiskan peluang mereka meningkatkan mobiliti sosial.

Maka, berlakulah putaran dan pusingan kemiskinan sekali lagi dari miskin ke tidak miskin, ke miskin sekali lagi.

Begitu pun, sebahagian besar generasi kedua mencairkan diri mereka daripada ikatan Felda. Mereka kini berhijrah ke bandar membina kerjaya baru, membangunkan entiti perniagaan sendiri serta menjadi tenaga profesional.

Dari segi polisi, generasi baru Felda akan dipandang sebagai mercu kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam melahirkan kelas menengah Melayu baharu.

Terdapat setengah pandangan, mereka hanya mahu dikenali sebagai produk berjaya yang dilahirkan Felda daripada keringat orang tua mereka, bukan mewarisi kerja keras ibu bapa mereka untuk menjadi peneroka baru.  

Matlamat asal pembangunan Felda sememangnya baik dan berfaedah, biarpun kosnya tinggi. Tun Abdul Razak watak penting merencanakan pembangunan Felda ketika itu berani membuat pinjaman berskala besar kepada Bank Dunia.

Persoalannya apakah segala perbelanjaan besar Felda akhirnya hanya untuk menaikkan taraf hidup generasi pertama, bagaimana pula untuk generasi kedua dan selanjutnya?

Generasi kedua yang memilih untuk bekerja di ladang perlu ditawarkan pakej sokongan sosial dan templat baru untuk diperkasakan.

Sebenarnya, institusi dan anggota masyarakat ibarat tubuh badan manusia yang harus berfungsi secara baik.

Jika salah satu organ tidak berfungsi, ia akan mencetuskan implikasi kepada sistem badan. Generasi kedua Felda adalah sebahagian organ daripada sistem tersebut.

Walaupun generasi kedua bersama Felda dianggap kecil bilangannya, tetapi mereka berfungsi dalam memajukan Felda sebagai pengeluar utama komoditi.

Bayangkan sekiranya generasi kedua tidak mahu terlibat dengan sistem pengurusan ladang yang akhirnya mengakibatkan pembaziran tenaga tempatan.  

Timbul pula masalah baharu, iaitu masalah mendapatkan tenaga buruh yang kini diselesaikan dengan cara simplistik menggunakan tenaga buruh asing.

Sedangkan, di Felda kita memiliki anak tempatan. Sumber tenaga tempatan perlu dioptimumkan.

Kadar upah dan gaji yang rendah antara faktor generasi yang bermastautin di Felda sendiri tidak berminat menceburi sektor ladang atas alasan kerja berat dan berisiko tinggi. Cabaran ini terus menghambat generasi kedua dan seterusnya.

Menurut hemat penulis, Felda memerlukan pelaburan modal yang besar dalam bentuk penyelidikan untuk membangunkan peralatan dan teknologi moden untuk manfaat generasi baru mengusahakan ladang dengan pendapatan dan perlindungan yang setimpal.

Dengan demikian, generasi kedua mampu berdikari serta meningkatkan produktiviti untuk bekerja sepenuhnya di tanah rancangan.

Selain mereka dapat menerokai bidang-bidang baru yang bakal dibangunkan dan tidak hanya tertumpu dengan sektor berat di ladang.

Dengan kepimpinan Felda bersilih ganti, warga Felda pasti mengharapkan pengerusi baharu Felda ke-10 yang baru dilantik dapat membentangkan projek pembangunan masa depan yang lengkap untuk generasi barunya.  

Pada prinsipnya, skim Felda selama ini mencipta ribuan orang Melayu miskin asalnya kepada golongan elit desa meskipun di sebaliknya sering terlindung pelbagai masalah yang masih belum dibereskan.

Tulisan ini didedikasikan kepada seluruh masyarakat Felda. Selamat Hari Peneroka Felda Kebangsaan ke-67. – 7 Julai, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen