Calon PM jemput Taylor Swift ke Thailand


Bintang pop Amerika Taylor Swift akan ke Singapura bagi konsert jelajahnya di Asia “The Eras Tour”. – Gambar AFP, 7 Julai, 2023.

CALON perdana menteri Thailand Pita Limjaroenrat menjemput bintang pop Amerika Taylor Swift untuk menjadikan Thailand antara satu destinasi bagi konsert jelajahnya di Asia “The Eras Tour”.

Pita menerusi akaun Twitternya, @Pita_MFP, dan menulis ciapan berbunyi “Hey Taylor! Saya peminat anda. Thailand kini kembali ke landasan untuk menjadi sebuah negara demokrasi sepenuhnya selepas anda terpaksa membatalkannya kali terakhir kerana rampasan kuasa. Rakyat Thai telah bersuara melalui pilihan raya dan kami semua berharap untuk mengalu-alukan anda ke negara kami yang indah ini!”

“Datanglah dan saya akan menyanyikan Lavender Haze bersama anda,” menurut ciapannya.

Singapura menjadi satu-satunya lokasi konsert di Asia Tenggara, dan perhentian kedua di Asia selepas Tokyo, Jepun bagi konsert jelajah itu.

Konsert jelajah penyanyi yang juga penulis lagu itu membabitkan 131 konsert di lima benua, bermula dengan Glendale, Arizona di Amerika Syarikat pada Mac dan dijangka berakhir di London, England pada Ogos 2024.

Laporan media menunjukkan lebih 22 juta individu mendaftar untuk jelajah Singapura.

Swift akan membuat persembahan enam hari di Stadium Nasional Singapura dari 2 hingga 4 Mac dan 7 hingga 9 Mac, 2024.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau turut menggunakan platform Twitter bagi meyakinkan Swift untuk menjadikan Kanada sebagai destinasi jelajahnya. – Bernama, 7 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen