Sivaraj timbang sertai parti berbilang kaum, kata sumber


Ravin Palanisamy

Khabar angin mengatakan bekas naib presiden MIC Sivaraj Chandran mungkin akan menyertai Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai 2023.

BEKAS ahli Parlimen Cameron Highlands Sivaraj Chandran dikatakan sedang menimbang untuk menyertai parti berbilang kaum, selepas umum keluar MIC minggu lalu.

Sumber berkata itu hasrat sebenar Sivaraj, ketika khabar angin mengatakan senator itu mungkin akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Walaupun menerima banyak tawaran, beliau sebenarnya sedang menimbang untuk menyertai parti berbilang kaum,” kata sumber yang rapat dengan Sivaraj kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, Sivaraj yang juga bekas naib presiden MIC telah menemui pemimpin parti-parti tertentu sebelum membuat keputusan mengenai masa depannya dalam politik.

“Sivaraj mahu berada dalam parti di mana beliau boleh buat kerja,” jelas sumber itu.

Tambahnya, PKR pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau DAP mungkin menjadi pilihan Sivaraj.

Sumber itu bagaimanapun tidak mendedahkan lebih lanjut, mendakwa belum ada keputusan muktamad buat masa ini.

Pada 27 Jun lalu, Sivaraj isytihar keluar MIC berkuat kuasa serta-merta, selepas hampir 20 tahun menyertai parti itu.

Keputusan itu dibuat kerana beliau ingin menumpukan tugas sebagai senator dan pemimpin masyarakat India tanpa sebarang halangan atau sekatan dari mana-mana pihak, terutamanya dari kepimpinan MIC, katanya.

Sivaraj juga mendakwa beliau dilihat sebagai ancaman kepada kepimpinan parti.

Dua minggu sebelum itu, Sivaraj dipecat daripada jawatan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC berkuat kuasa 10 Jun.

Kelmarin, Malaysiakini melaporkan Sivaraj mengakui mengadakan dua pertemuan bersama Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin selepas disingkir daripada CWC.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Sivaraj berkata seorang senator beliau berhak untuk bertemu dengan mana-mana individu untuk berbincang akan perkembangan semasa politik tanah air.

Free Malaysia Today hari ini melaporkan PN kini dalam proses membentuk sebuah jawatankuasa dianggotai orang India sepenuhnya yang diketuai bekas pemimpin MIC, sebagai langkah menubuhkan parti baharu berbangsa India dalam gabungan pembangkang itu pada masa depan.

Tiga hari selepas Sivaraj umum keluar MIC, Ketua Pemuda MIC Selangor P Punithan pula menyerahkan surat peletakan jawatan kepada presiden parti, SA Vigneswaran.

Vigneswaran mengesahkan perkara itu dan berkata Punithan berminat untuk menyertai PN. – 6 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen