Malaysia antara 4 negara dirujuk supaya sertai Opec, kata setiausaha agung


Setiausaha Agung Opec Haitham Al Ghais berkata mereka berunding dengan empat negara supaya menyertai organisasi itu. – Gambar AFP, 6 Julai, 2023.

PERTUBUHAN Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) berunding dengan empat negara supaya menyertai organisasi itu, kata Setiausaha Agungnya Haitham Al Ghais.

Empat negara itu ialah Azerbaijan, Malaysia, Brunei dan Mexico.

Dalam kenyataan kepada Agensi Berita Emirates (WAM) di luar Seminar Antarabangsa kelapan OPEC yang bermula di Vienna Rabu, Al Ghais berkata perundingan dengan negara baharu akan menyumbang kepada pengukuhan perpaduan OPEC.

Beliau berkata OPEC berharap dapat menambah bilangan negara anggotanya kepada negara yang mempunyai objektif strategik yang sama untuk memulihara dan menstabilkan pasaran minyak.

Setiausaha Agung OPEC berkata empat negara yang terlibat dalam rundingan itu bersama organisasi itu sejak 2017, sambil menambah “mereka melalui cabaran kualitatif semasa kejatuhan pasaran dan wabak pada 2020, oleh itu semua negara ini mempunyai matlamat penting yang sama untuk menstabilkan pasaran minyak”.

Organisasi itu kini mempunyai 13 negara anggota. – Bernama, 6 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen