Negeri Australia rekod peningkatan kes influenza


Pihak berkuasa kesihatan New South Wales Australia pada Khamis memberi amaran akan peningkatan kes influenza dan kemasukan ke hospital.– Gambar EPA, 6 Julai, 2023.

PIHAK berkuasa kesihatan di negeri New South Wales (NSW) Australia pada Khamis memberi amaran akan peningkatan kes influenza dan kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, menggesa ibu bapa memvaksin mereka yang berumur lima hingga 16, lapor Xinhua.

Ketua Kesihatan NSW Kerry Chant berkata data terkini agak membimbangkan dengan peningkatan 37% kes di jabatan kecemasan (ED) bergejala dengan penyakit seperti influenza dan peningkatan 30 peratus dalam kemasukan ke hospital pada minggu hingga Ahad berbanding minggu sebelumnya.

Beliau berkata kanak-kanak di bawah 16 tahun mewakili 54% daripada semua kes bergejala di ED untuk penyakit seperti influenza dan lebih satu pertiga daripada kemasukan ke hospital adalah disebabkan kes sedemikian pada minggu lalu.

Sejak Mei, terdapat 16 kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan komplikasi yang mengancam nyawa akibat influenza dan bilangannya semakin meningkat.

“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kami menyaksikan peningkatan kes influenza dalam kalangan kanak-kanak serta mereka yang berumur lima hingga 16 tahun, dengan kedua-dua kumpulan umur ini menyumbang kira-kira separuh daripada kes selesema yang didiagnosis di NSW setiap minggu,” kata Chant.

Beliau berkata perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah memastikan anak-anak mereka menerima vaksin selesema jika belum mendapatkannya. – Bernama, 6 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen